Pages

10 January 2016

SIMKAD DI MEKAH & MADINAH

Sekarang ini, internet atau wifi benda yang wajib ada dalam hidup kitakan. Tidak ketinggalan semasa pergi menunaikan Ibadah Umrah. Bagi saya, internet ini perlu supaya mudah untuk berkomunikasi bersama jemaah serta ground handling di sana. Kalau tak, memang saya tak nak guna atau beli. Ini apa yang saya perhatikan dan tahu mengenai penggunaan simkad di sana. Harap perkongsian saya ini bermanfaat untuk anda yang bakal menunaikan Ibadah Umrah pada masa akan datang.

Semasa saya hendak berlepas ke Tanah Suci, sahabat saya yang telah pergi lebih awal ke sana telah pun mewariskan dua jenis simkad pada saya iaitu Mobily dan Zain. Pesan beliau supaya menggunakan simkad Zain kerana masih ada baki kredit lagi. Simkad Mobily tiada kredit langsung dah. Ok, saya akan tukar handpone saya dengan simkad di sana.

Ada tiga jenis simkad yang boleh didapati di Mekah atau Madinah :
1. Mobily
2. Zain
3. STC

Simkad mereka tak sama macam simkad kita. Simkad di Malaysia boleh beli internet menggunakan kredit yang kita ada. Akan tetapi simkad di sana, tidak sama. Kena beli samaada simkad berdasarkan pada yang kita mahu :

1. Simkad untuk kredit sahaja. (Boleh call & mesej sahaja)
2. Simkad untuk internet sahaja. (Internet sahaja)
3. Simkad untuk call & intenet sekaligus. (Dua-dua boleh)

Harga mengikut apa yang saya tahu. (Mungkin akan ada perubahan dari semasa ke semasa)

1. Mobily
- Untuk kredit sahaja. Harga simkad 30 Riyal. Kredit ada 25 Riyal. (Saya sendiri yang guna)
- Untuk internet 2G dalam 55 Riyal. (Dimaklumkan oleh kawan disana)
- Untuk internet 5G dalam 120 Riyal. (Dimaklumkan oleh kawan disana)

2. Zain
- Untuk kredit sahaja. Harga simkad 30 Riyal. Kredit ada 25 Riyal. (Tak silap saya)
- Untuk internet 2G dalam 40 Riyal. (Saya sendiri yang guna)

3. STC
- Untuk kredit dan internet dalam 70 Riyal. (Ada jemaah yang pakai)
- Untuk unlimited internet dalam 300 Riyal. (Staf katering yang bagitau saya)

Mudahnya simkad sana :

- Beli simkad kemudian boleh terus pakai.
- Simkad juga telah siap dipotong samaada untuk mikro atau nano.
- Internet 2G yang diberikan boleh tahan lama. At least seminggu baru boleh habis quota.

Payahnya simkad sana :

- Nak beli simkad di kedai mereka kena beratur panjang.
- Kedai mereka pula terhad. Untuk Mobily hanya ada satu saya kedai dan satu kiosk semasa di Mekah. Di Madinah juga ada satu kedai.
- Nak dapatkan kad top up pun susah. Ada beberapa kedai sahaja yang jual kad top up.
- Jika nak top up kredit, pastikan anda bawa bersama kad besar semasa anda beli simkad tersebut. Jika tiada, anda tidak boleh top up kerana ada no pin tertera di kad tersebut untuk digunakan semasa top up. Jadi jangan buang kad besar itu ya.
-Jika kad besar memang tiada maka memang kena buang simkad itu. Tak boleh top up dah. Hehe. Kenalah beli simkad baru.
- Jika anda beli simkad yang khas untuk kredit akan tetapi anda gunakan untuk internet tiada masalah. Hany buka Mobile Data kemudian anda boleh surf internet. Yang masalahnya adalah kredit anda sangat laju ditelan oleh penggunaan internet tersebut. Pengalaman saya membeli simkad baru Mobily dengan kredit 25 Riyal digunakan untuk internet hanya tahan untuk dua jam sahaja. Rugi sangat rasa.

Untuk kod no telefon di Mekah & Madinah adalah +966.
Sebagai contoh no telefon kita di sana adalah 0569567832 maka untuk dihubungi tuliskan +966569567832.

Inilah koleksi simkad saya. Hehe.

Itu adalah sebahagian daripada apa yang saya alami serta perkongsian pengalaman dari jemaah saya. Mudah-mudahan boleh dijadikan panduan untuk anda sebelum membuat pembelian simkad yang tepat.

Jika ada sebarang pertanyaan boleh hubungi saya di talian 012-3335615. Saya boleh kongsikan apa yang saya ketahui. Wallahua'lam.

IBADAH UMRAH

Bagi Pakej Umrah yang EZ Kembara kendalikan, kami akan membawa jemaah untuk menunaikan Ibadah Umrah terlebih dahulu dengan memasuki Mekah kemudian barulah menuju ke Madinah. Kami ingin jemaah fokus pada ibadah kemudian barulah boleh 'berehat' di Madinah dengan tenang.

Persiapan untuk menunaikan Ibadah Umrah kebiasaannya agak rumit bagi kaum lelaki kerana mereka perlu memakai kain ihram berbanding orang wanita yang hanya perlu memakai pakaian yang biasa mereka pakai ketika melakukan ibadah tersebut. Memakai kain ihram bukanlah susah akan tetapi untuk memastikan kain tersebut dalam keadaan bersih dan suci yang payah. Kalau dulu ikut saya, lebih baik memakai kain ihram bermula dari rumah lagi akan tetapi selepas dijelaskan oleh Ustaz Zamri maka saya bersedia untuk memakai kain ihram semasa di dalam flight kerana lebih selesa. Begitu jugalah saranan buat para jemaah lelaki agar memakai kain ihram semasa dalam flight dan para jemaah juga digalakkan untuk membawa dua pasang kain ihram kerana sekiranya rasa was-was akan kesucian kain tersebut maka boleh ditukar apabila sudah sampai di hotel Mekah kelak.

Seperti yang dimaklumkan oleh Ustaz Zamri, selepas makan untuk kali kedua dalam flight masih sempat lagi untuk menukar kain ihram. Akan tetapi memandangkan risau terlepas tempat miqat maka kebanyakkan jemaah menukar kain ihram 4 jam sebelum mendarat termasuk saya sendiri. Seorang demi seorang selesai menukarkan kain ihram ditempat yang disediakan. Terdapat satu ruang khas berlangsir disediakan untuk para jemaah menukar pakaian mereka. Lega rasa. Kemudian kami pun menunaikan solat sunat ihram dalam keadaan duduk dalam flight. Terima kasih kepada Ustaz Zamri atas tunjuk ajar kepada para jemaah untuk mengambil wudhu menggunakan spray dengan betul. Mudah untuk kami amalkan semasa dalam flight.

Sejam sebelum mendarat di airport Jeddah, ketua peramugari memaklumkan bahawa flight sudah melalui tempat Miqat iaitu tempat berniat untuk melaksanakan Ibadah Umrah. Miqat kami adalah di Qarnul Manazil. Ketua peramugari akan mengingatkan 15 minit selepas itu untuk meminta para jemaah yang ingin menunaikan Ibadah Umrah untuk berniat umrah sekarang. Kepada jemaah yang terus ke Madinah, mereka tidak perlu berniat Umrah.

Pukul 12.00 malam waktu Malaysia bersamaan pukul 8.00 malam waktu Jeddah.
Kami sampai di airport Jeddah. Kami tiba di airport King Abd Aziz dan keluar melalui Terminal Haji. Setibanya kami di tempat menunggu maka saya pun meminta para jemaah untuk solat jama Maghrib & Isya' terlebih dahulu agar memudahkan perjalanan untuk terus ke Mekah. Di ruang menunggu itu juga ada pekerja pembersihan orang bangla yang menjual simkad maka boleh beli di situ terus untuk digunakan. Harga simkad yang mereka jual 30 Riyal jenama Mobily. Nanti saya akan kongsikan khas satu post mengenai 'Simkad' sahaja untuk mudah anda faham bagaimana penggunaan simkad di Mekah & Madinah. Selesai solat, kami pun keluar bersama-sama menuju ke kawasan menunggu bas. Petang tadi, kami bertolak dari Malaysia pukul 3.00 petang dan kini sudah pun larut malam akan tetapi kami perlu bersedia melaksanakan Ibadah Umrah yang wajib kerana memasuki Tanah Suci Mekah.

Ruang menunggu.

Menunaikan solat jama di ruang menunggu selepas tiba di balai ketibaan.

Para jemaah berkumpul sebelum bergerak menuju ke tempat bas.

Kita tukar mengikut waktu di Mekah pula sekarang.

Pukul 10.00 malam. (bersamaan pukul 2.00 pagi waktu Malaysia)
Kami menaiki bas menuju ke hotel Mekah. Perjalanan dari Jeddah ke hotel Mekah mengambil masa selama sejam setengah. Setelah membaca doa perjalanan serta bertalbiah seketika maka para jemaah mengambil kesempatan untuk berehat sementara menunggu untuk sampai ke hotel. Kalau ikut waktu Malaysia, waktu tidur sekarang ini akan tetapi di Mekah baru masuk waktu malam. Jadi jemaah perlu bersedia untuk menguatkan diri bagi menunaikan Ibadah Umrah yang wajib bagi diri mereka. Di pertengahan jalan, pemandu bas berhenti di RNR untuk membawa makan malam akan tetapi semua jemaah masih belum ada selera. Tidur lebih diutamakan waktu itu.

Alhamdulillah, bas sangat selesa. Seorang jemaah boleh duduk dua tempat duduk.

Pukul 12.00 tengah malam. (bersamaan pukul 4.00 pagi waktu Malaysia)
Kami tiba di hotel Ajwad Ajyad dan disambut oleh Mutawif EZ Kembara iaitu Ustaz Zamri. Alhamdulillah akhirnya berjumpa dengan beliau. Setelah urusan pembahagian bilik dan beg dibuat maka para jemaah diberi masa selama sejam untuk mempersiapkan diri bagi menyambung tanggungjawab yang dipikul iaitu Ibadah Umrah yang wajib. Ustaz Zamri mengingatkan para jemaah agar menjaga 13 pantang larang sepanjang berada dalam keadaan berihram. 13 pantang larang ini sangatlah penting dijaga agar tiada masalah yang berlaku. Berikut adalah 13 pantang larang yang perlu dijaga oleh para jemaah :

1. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki, seperti memakai songkok, serban.
2. Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit seperti seluar, baju kemeja dan sarung kaki.
3. Menutup muka bagi wanita.
4. Memakai sarung tangan.
5. Memakai bau-bauan pada badan atau pakaian.
6. Memakai minyak rambut pada kepala atau janggut.
7. Menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu pada anggota badan.
8. Mengerat atau membuang kuku.
9. Memotong, menebang atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah Haram.
10. Memburu binatang buruan yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal.
11. Bersetubuh.
12. Melakukan perkara pendahuluan bersetubuh seperti bercium, berkucup-kucupan atau berpeluk.
13. Akad nikah sama ada ijab atau qabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

Mutawif kami, Ustaz Zamri Zainal Abidin.

Saya yang bersiap untuk menyempurnakan Ibadah Umrah. 

Pukul 1.00 pagi. (bersamaan pukul 5.00 pagi waktu Malaysia)
Selepas semua berkumpul di lobi maka kami pun bergerak bersama menuju ke Masjidil Haram. Oh, rindunya waktu itu. Setelah tiga tahun tidak datang, inilah saat yang saya nantikan untuk melihat 'Rumah-Mu' Ya Allah iaitu Kaabah. Ustaz Zamri mengingatkan kami sekali lagi rukun Umrah yang perlu kami selesaikan. Kami bertalbiah bermula dari hotel menuju ke Masjidil Haram. Talbiah dibaca sehingga melihat Kaabah barulah berhenti bertalbiah.

1. Niat (Selesai)
2. Tawaf (7 pusingan)
3. Saie (7 kali)
4. Bercukur/Bergunting
5. Tertib

Kami memasuki Masjidil Haram dan terus menuju ke Matof Tingkat 1 untuk bertawaf. Umrah yang sebelum ini, saya sentiasa melihat buku umrah gantung bagi membaca doa-doa yang terdapat di dalamnya akan tetapi kali ini, saya tak buat kerana ustaz menggalakkan agar membaca zikir untuk lebih khusyu'. Betul, apabila kita berzikir melalui hati maka 'feeling' lebih berbanding jika merujuk pada buku. Senang sahaja, tujuh kali tawaf dengan tujuh zikir yang berbeza. Contohnya, Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Istigfar, Lahaulawala...., Surah Al-Ikhlas serta Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Itu apa yang saya buat. Kalau nak baca zikir lain pun tiada masalah. Bermula tawaf dengan melepasi batu Hajarul Aswad dan membaca 'Bismillah Allahuakbar' lalu mengangkat tangan ke atas kemudian mengucup tangan tersebut seolah-olah kita mencium Hajarul Aswad. Buat sebanyak tiga kali. Itu sebagai simbolik kita mengucup Hajarul Aswad kerana untuk pergi mencium terus memang takkan dapat dek ramainya orang di sana. Itulah permulaan tawaf kita. Di situ terdapat lampu hijau yang boleh menjadi panduan kita atau papan tanda yang menulis 'Tawaf Start Here'. Kemudian berzikirlah kita sepanjang bertawaf dan bila sampai di Rukun Yamani kita disunatkan untuk menyapu bucu tersebut dari atas ke bawah dan kita boleh buat secara simbolik sahaja dengan mengangkat tangan kita tanpa perlu mencium. Dari Rukun Yamani sehingga ke Hajarul Aswad disunatkan kita membaca doa 'Rabbana Atina Fiddunya Hanasah...sehingga habis' sebanyak mana yang boleh sebelum sampai di Hajarul Aswad semula. Selesaikan sebanyak tujuh kali tawaf. Jika tawaf di tingkat bawah iaitu ground floor, betul-betul hampir dengan Kaabah memang cepat pusingan kita akan tetapi bila kita bertawaf di Matof Tingkat 1 atau 2 maka pusingan lebih besar. Anggaran untuk selesaikan tawaf ini dalam masa 40 minit ke sejam. Tip untuk bertawaf dengan cepat adalah bertawaf semasa orang bersiap sedia untuk solat fardhu. Waktu itu kawasan tawaf agak lapang kerana orang bersiap sedia untuk solat dan kita masih boleh lagi bertawaf. Kita boleh selesaikan tawaf sebanyak tiga pusingan antara waktu selepas azan sehingga menunggu waktu iqomah. Terpulang pada perancangan masing-masing. Ini tip yang jemaah lain kongsikan dan apa yang saya sendiri perhatikan. Selesai tawaf, disunatkan untuk Solat Sunat Tawaf di belakang Makam Ibrahim. Sepertimana yang dimaklumkan oleh Ustaz Zamri, hanya tiga solat sunat yang dinyatakan di dalam Al-Quran iaitu Solat Sunat Aidiladha, Solat Sunat Tahajjud dan Solat Sunat Tawaf. Maka ambillah peluang untuk menunaikan Solat Sunat Tawaf ini kerana hanya boleh dilaksanakan di Mekah sahaja. Solat di Makam Ibrahim juga merupakan tempat yang afdhol berdoa.

Alhamdulillah ruang yang lapang untuk para jemaah menunaikan Solat Sunat Tawaf.

Selesai Solat Sunat Tawaf, para jemaah kami bersama-sama bergerak menuju ke Bukit Safa untuk memulakan Saie. Saie bermula dari Bukit Safa dan menuju ke Bukit Marwah. Kemudian patah balik semula ke Bukit Safa sehingga cukup tujuh kali dan akan berakhir di Bukit Marwah.
- Bukit Safa ke Bukir Marwah - kiraan ganjil (1, 3, 5 & 7)
- Bukit Marwah ke Bukit Safa - kiraan genap (2, 4 & 6)

Semua jemaah akan berjumpa semula dengan Ustaz Zamri yang tunggu di Bukit Marwah. Maka kami semua pun bergerak dan masing-masing fokus menunaikan Saie. Berdoa sendirian tanpa perlu membaca secara ramai-ramai seperti mana orang lain lakukan. Ibadah ini kita yang punya jadi kita berdoa sebaik mungkin dengan penuh pengharapan. Jika kita ikut apa yang orang lain baca maka 'feeling'nya kurang saya rasa. Bermula Saie semasa di Bukit Safa dengan mengadap ke Kaabah dan mengangkat tangan sambil membaca "Bismillah Allahuakbar", sama juga semasa di Bukit Marwah. Semasa Saie, khas untuk kaum lelaki  mereka perlu berlari-lari anak sepanjang lampu hijau. Ini bagi memperingati sejarah Siti Hajar yang belari-lari mencari sumber air untuk anaknya Nabi Ismail r.a. Semasa lari boleh juga baca doa khas yang telah disunatkan untuk dibaca.

Setelah Saie, kami semua berkumpul di Bukit Marwah untuk bercukur. Kata ustaz, apabila kita bercukur rambut sehingga botak licin maka Allah akan memberi tiga rahmat kepada hamba-Nya. Rahmat yang berupa kasih sayang. Takkan kita nak lepaskan peluang ini. Maka semua jemaah digalakan untuk botak licin di kedai potong rambut yang terletak di luar Bukit Marwah dengan bayaran 15 Riyal seorang. Selepas bercukur barulah tahallul kami semua. Bagi kaum wanita hanya perlu menggunting rambut mereka seadanya. Tak silap saya sebanyak tiga helai rambut. Apabila sudah potong pastikan tengok yang dipotong itu rambut kerana khuatir bukan rambut yang dipotong akan tetapi kain telekung. Sekadar langkah berhati-hati. Tahallul bukanlah maksudnya bercukur atau bergunting, Salah. Tahallul maksudnya bebas dari ihram. Maka 13 pantang larang yang dikenakan tadi sudah pun bebas. Selesai kami bercukur itu, terus azan berkumandang. Kami ingatkan sudah masuk waktu Subuh akan tetapi itu adalah azan pertama sebelum Solat Subuh. Azan pertama akan berkumandang sejam lebih awal iaitu pukul 4.30 pagi. Azan Subuh pada 5.30 pagi. Maknanya kami selesai Ibadah Umrah kami pada jam 4.30 pagi bersamaan pukul 9.30 waktu Malaysia. Saya yakin para jemaah masih terkejut lagi dengan perubahan cuaca serta masa pada waktu itu.


Background Jam Besar.
Semua jemaah lelaki selesai bercukur.

Bercukur.

Pukul 5.30 pagi (bersamaan pukul 10.30 pagi waktu Malaysia)
Kami menunaikan Solat Subuh secara berjemaah di kawasan Saie kerana tidak sempat untuk masuk ke kawasan berdekatan dengan Kaabah. Selesai Solat Subuh, kami berkumpul semula dan bergerak pulang ke hotel untuk berehat.

Alhamdulillah selesai.
Nota penulis :
Sekiranya terdapat sebarang kesilapan & kesalahan dalam penceritaan saya, sila tegur. Saya sedia perbaikinya. Terima kasih.

08 January 2016

UMRAH ZAAFARAN 2 BERSAMA EZ KEMBARA (PENGENALAN)

Alhamdulillah atas segala rahmat-Nya atas peluang yang diberikan.
Pernah seawal tahun 2015 saya sering bercakap untuk membawa jemaah Umrah pada hujung tahun.
Alhamdulillah doaku dimakbulkan. 
Ini kali kedua saya pergi menunaikan Ibadah Umrah.
Saya memikul tanggungjawab sebagai Tour Leader untuk menjaga 20 orang jemaah.
Dan yang paling istimewanya, Mutawif kami adalah Ustaz Zamri Zainal Abidin yang merupakan Pembimbing Haji & Umrah Bertauliah dari Tabung Haji dan juga Duta Rasmi EZ Kembara.
Saya sangat teruja untuk belajar dengan beliau mengenai selok belok Ibadah Umrah. 
Dan untuk kali ini, saya adalah pembantunya. I like sangat tau. Hehe.

Mengimbau kenangna lama, kali pertama saya pergi pada tahun 2012 juga bersama EZ Kembara.
Umrah Perdana yang pertama kali kami anjurkan.
Saya sebagai Tour Leader kepada jemaah seramai 30 orang pada masa itu.
Sewaktu itu mutawif yang dilantik adalah orang Indonesia yang biasa membawa jemaah Umrah.
Rezekiku berjumpa beliau semasa di Masjid Nabawi semula pada kali ini. 

PERJALANAN BERMULA
22 DISEMBER 2015 (SELASA)

Seawal pukul 11.00 pagi, saya dah para jemaah sudah berkumpul di Balai Perlepasan KLIA.

Jemaah Umrah Zaafaran 2, EZ Kembara.

Abang kepada Puan Zawiyah, Tuan Awang bersama isterinya.

Puan Zawiyah bersama anak-anak.

Tuan. Rahfidi dan adik beradik beliau.
Tuan Nasir Sekeluarga.
Keluarga kecil saya.
Kebiasaannya sebelum taklimat bermula, kami dari pihak EZ Kembara akan memberikan barangan cenderahati kepada para jemaah dan kami juga akan memastikan bagasi jemaah dibalut plastik dahulu sebelum di check in. Ini untuk memastikan semua bagasi jemaah ditanda dengan pelekat EZ Kembara bagi memudahkan urusan semasa di airport Jeddah sewaktu mengambil bagasi. Dua orang kuat EZ Kembara hadir iaitu Ustaz Azim dan Ustaz Mad untuk membantu para jemaah sebaik mungkin. Setelah selesai semua tugasan tersebut maka kami mulakan perjalanan dengan doa musafir agar perjalanan kami dipermudahkan. Doa dibacakan oleh Ustaz Azim. 

Bacaan doa musafir dari Ustaz Azim.

Kemudian bagasi semua dibawa ke kaunter untuk di check in. Ini pula adalah kepakaran Ustaz Mad. Alhamdulillah jemaah tidak perlu menunggu di kaunter bagi memperlihatkan wajah mereka kepada pegawai yang bertugas. Kebiasaannya pegawai yang bertugas ingin memastikan jemaah berada di depan mereka. Kemudian kami berikan masa kepada jemaah untuk makan bersama keluarga selama sejam dan berkumpul semula di Pintu Perlepasan Antarabangsa untuk masuk ke dalam bersama saya. Alhamdullillah tepat jam 1.00 tengahari, kami mula masuk ke dalam. Selepas melepasi kaunter imigresen serta mesin scanner maka kami perlu menaiki tren untuk sampai ke kawasan airport yang sepatutnya. Setibanya di sana barulah saya membenarkan para jemaah untuk solat jama' di surau di situ. Selesai solat jama' barulah kami bergerak bersama ke pintu perlepasan untuk menaiki penerbangan. Jadual penerbangan kami adalah pada pukul 3.00 petang menaiki MH 150.

Beg 'hand carry' EZ Kembara dikumpulkan untuk memberikan peluang jemaah menunaikan solat jama'.
Sebelum bertolak ke Jeddah.

Antara masalah yang berlaku dalam fllight adalah tempat duduk jemaah berterabur. Ini bukan salah agensi pelancongan akan tetapi pihak penerbangan MAS yang memberikan tempat duduk tanpa mengikut kumpulan jemaah. Masing-masing ingin menukar tempat duduk untuk duduk bersama pasangan atau adik beradik. Saya yang pergi single tiada masalah, boleh duduk di mana-mana sahaja akan tetapi saya kena memastikan jemaah selesa. Dengan pengalaman sebelum ini maka saya cergas menyusun tempat duduk jemaah dahulu sebelum membuat perubahan mendadak setelah dibenarkan oleh pilot. Alhamdulillah saya berjaya menyusun jemaah duduk selesa bersama pasangan atau ahli keluarga masing-masing. Perjalanan yang lama jadi jika orang kiri kanan tak kenal maka lain rasanya. Saya faham perasan mereka. Lega rasa. Itu antara tugasan Tour Leader yang utama iaitu memastikan jemaah dalam keadaan selesa.

Perjalanan kami untuk ke Jeddah mengambil masa 8-9 jam. Pihak MAS menyediakan dua kali makan dan kemudahan 'TV'  bagi mengisi masa lapang semasa dalam perjalanan. 

Perjalanan dah separuh jalan baru teringat nak ambil gambar.
Alhamdulillah saya dapat meluangkan masa dengan membaca buku yang telah diamanahkan oleh Ustaz Zamri Zainal Abidin sebelum pergi. Saya hanya berjaya menghabiskan tiga bab sebelum sampai ke Jeddah. Sehingga balik ke Malaysia masih lagi tiga bab. Hehe. In shaa Allah memnag berazam untuk khatamkan.

Selesai menu pertama. Hehe.

Kitab yang sangat-sangat berguna. Carilah bagi mereka yang bakal menunaikan Ibadah Umrah.
In shaa Allah, saya akan disambung dengan episod "UMRAH" pula selepas ini.
Saya akan update mengikut topik-topik yang ingin saya kongsikan.
Tunggu!