Pages

10 January 2016

IBADAH UMRAH

Bagi Pakej Umrah yang EZ Kembara kendalikan, kami akan membawa jemaah untuk menunaikan Ibadah Umrah terlebih dahulu dengan memasuki Mekah kemudian barulah menuju ke Madinah. Kami ingin jemaah fokus pada ibadah kemudian barulah boleh 'berehat' di Madinah dengan tenang.

Persiapan untuk menunaikan Ibadah Umrah kebiasaannya agak rumit bagi kaum lelaki kerana mereka perlu memakai kain ihram berbanding orang wanita yang hanya perlu memakai pakaian yang biasa mereka pakai ketika melakukan ibadah tersebut. Memakai kain ihram bukanlah susah akan tetapi untuk memastikan kain tersebut dalam keadaan bersih dan suci yang payah. Kalau dulu ikut saya, lebih baik memakai kain ihram bermula dari rumah lagi akan tetapi selepas dijelaskan oleh Ustaz Zamri maka saya bersedia untuk memakai kain ihram semasa di dalam flight kerana lebih selesa. Begitu jugalah saranan buat para jemaah lelaki agar memakai kain ihram semasa dalam flight dan para jemaah juga digalakkan untuk membawa dua pasang kain ihram kerana sekiranya rasa was-was akan kesucian kain tersebut maka boleh ditukar apabila sudah sampai di hotel Mekah kelak.

Seperti yang dimaklumkan oleh Ustaz Zamri, selepas makan untuk kali kedua dalam flight masih sempat lagi untuk menukar kain ihram. Akan tetapi memandangkan risau terlepas tempat miqat maka kebanyakkan jemaah menukar kain ihram 4 jam sebelum mendarat termasuk saya sendiri. Seorang demi seorang selesai menukarkan kain ihram ditempat yang disediakan. Terdapat satu ruang khas berlangsir disediakan untuk para jemaah menukar pakaian mereka. Lega rasa. Kemudian kami pun menunaikan solat sunat ihram dalam keadaan duduk dalam flight. Terima kasih kepada Ustaz Zamri atas tunjuk ajar kepada para jemaah untuk mengambil wudhu menggunakan spray dengan betul. Mudah untuk kami amalkan semasa dalam flight.

Sejam sebelum mendarat di airport Jeddah, ketua peramugari memaklumkan bahawa flight sudah melalui tempat Miqat iaitu tempat berniat untuk melaksanakan Ibadah Umrah. Miqat kami adalah di Qarnul Manazil. Ketua peramugari akan mengingatkan 15 minit selepas itu untuk meminta para jemaah yang ingin menunaikan Ibadah Umrah untuk berniat umrah sekarang. Kepada jemaah yang terus ke Madinah, mereka tidak perlu berniat Umrah.

Pukul 12.00 malam waktu Malaysia bersamaan pukul 8.00 malam waktu Jeddah.
Kami sampai di airport Jeddah. Kami tiba di airport King Abd Aziz dan keluar melalui Terminal Haji. Setibanya kami di tempat menunggu maka saya pun meminta para jemaah untuk solat jama Maghrib & Isya' terlebih dahulu agar memudahkan perjalanan untuk terus ke Mekah. Di ruang menunggu itu juga ada pekerja pembersihan orang bangla yang menjual simkad maka boleh beli di situ terus untuk digunakan. Harga simkad yang mereka jual 30 Riyal jenama Mobily. Nanti saya akan kongsikan khas satu post mengenai 'Simkad' sahaja untuk mudah anda faham bagaimana penggunaan simkad di Mekah & Madinah. Selesai solat, kami pun keluar bersama-sama menuju ke kawasan menunggu bas. Petang tadi, kami bertolak dari Malaysia pukul 3.00 petang dan kini sudah pun larut malam akan tetapi kami perlu bersedia melaksanakan Ibadah Umrah yang wajib kerana memasuki Tanah Suci Mekah.

Ruang menunggu.

Menunaikan solat jama di ruang menunggu selepas tiba di balai ketibaan.

Para jemaah berkumpul sebelum bergerak menuju ke tempat bas.

Kita tukar mengikut waktu di Mekah pula sekarang.

Pukul 10.00 malam. (bersamaan pukul 2.00 pagi waktu Malaysia)
Kami menaiki bas menuju ke hotel Mekah. Perjalanan dari Jeddah ke hotel Mekah mengambil masa selama sejam setengah. Setelah membaca doa perjalanan serta bertalbiah seketika maka para jemaah mengambil kesempatan untuk berehat sementara menunggu untuk sampai ke hotel. Kalau ikut waktu Malaysia, waktu tidur sekarang ini akan tetapi di Mekah baru masuk waktu malam. Jadi jemaah perlu bersedia untuk menguatkan diri bagi menunaikan Ibadah Umrah yang wajib bagi diri mereka. Di pertengahan jalan, pemandu bas berhenti di RNR untuk membawa makan malam akan tetapi semua jemaah masih belum ada selera. Tidur lebih diutamakan waktu itu.

Alhamdulillah, bas sangat selesa. Seorang jemaah boleh duduk dua tempat duduk.

Pukul 12.00 tengah malam. (bersamaan pukul 4.00 pagi waktu Malaysia)
Kami tiba di hotel Ajwad Ajyad dan disambut oleh Mutawif EZ Kembara iaitu Ustaz Zamri. Alhamdulillah akhirnya berjumpa dengan beliau. Setelah urusan pembahagian bilik dan beg dibuat maka para jemaah diberi masa selama sejam untuk mempersiapkan diri bagi menyambung tanggungjawab yang dipikul iaitu Ibadah Umrah yang wajib. Ustaz Zamri mengingatkan para jemaah agar menjaga 13 pantang larang sepanjang berada dalam keadaan berihram. 13 pantang larang ini sangatlah penting dijaga agar tiada masalah yang berlaku. Berikut adalah 13 pantang larang yang perlu dijaga oleh para jemaah :

1. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki, seperti memakai songkok, serban.
2. Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit seperti seluar, baju kemeja dan sarung kaki.
3. Menutup muka bagi wanita.
4. Memakai sarung tangan.
5. Memakai bau-bauan pada badan atau pakaian.
6. Memakai minyak rambut pada kepala atau janggut.
7. Menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu pada anggota badan.
8. Mengerat atau membuang kuku.
9. Memotong, menebang atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah Haram.
10. Memburu binatang buruan yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal.
11. Bersetubuh.
12. Melakukan perkara pendahuluan bersetubuh seperti bercium, berkucup-kucupan atau berpeluk.
13. Akad nikah sama ada ijab atau qabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

Mutawif kami, Ustaz Zamri Zainal Abidin.

Saya yang bersiap untuk menyempurnakan Ibadah Umrah. 

Pukul 1.00 pagi. (bersamaan pukul 5.00 pagi waktu Malaysia)
Selepas semua berkumpul di lobi maka kami pun bergerak bersama menuju ke Masjidil Haram. Oh, rindunya waktu itu. Setelah tiga tahun tidak datang, inilah saat yang saya nantikan untuk melihat 'Rumah-Mu' Ya Allah iaitu Kaabah. Ustaz Zamri mengingatkan kami sekali lagi rukun Umrah yang perlu kami selesaikan. Kami bertalbiah bermula dari hotel menuju ke Masjidil Haram. Talbiah dibaca sehingga melihat Kaabah barulah berhenti bertalbiah.

1. Niat (Selesai)
2. Tawaf (7 pusingan)
3. Saie (7 kali)
4. Bercukur/Bergunting
5. Tertib

Kami memasuki Masjidil Haram dan terus menuju ke Matof Tingkat 1 untuk bertawaf. Umrah yang sebelum ini, saya sentiasa melihat buku umrah gantung bagi membaca doa-doa yang terdapat di dalamnya akan tetapi kali ini, saya tak buat kerana ustaz menggalakkan agar membaca zikir untuk lebih khusyu'. Betul, apabila kita berzikir melalui hati maka 'feeling' lebih berbanding jika merujuk pada buku. Senang sahaja, tujuh kali tawaf dengan tujuh zikir yang berbeza. Contohnya, Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Istigfar, Lahaulawala...., Surah Al-Ikhlas serta Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Itu apa yang saya buat. Kalau nak baca zikir lain pun tiada masalah. Bermula tawaf dengan melepasi batu Hajarul Aswad dan membaca 'Bismillah Allahuakbar' lalu mengangkat tangan ke atas kemudian mengucup tangan tersebut seolah-olah kita mencium Hajarul Aswad. Buat sebanyak tiga kali. Itu sebagai simbolik kita mengucup Hajarul Aswad kerana untuk pergi mencium terus memang takkan dapat dek ramainya orang di sana. Itulah permulaan tawaf kita. Di situ terdapat lampu hijau yang boleh menjadi panduan kita atau papan tanda yang menulis 'Tawaf Start Here'. Kemudian berzikirlah kita sepanjang bertawaf dan bila sampai di Rukun Yamani kita disunatkan untuk menyapu bucu tersebut dari atas ke bawah dan kita boleh buat secara simbolik sahaja dengan mengangkat tangan kita tanpa perlu mencium. Dari Rukun Yamani sehingga ke Hajarul Aswad disunatkan kita membaca doa 'Rabbana Atina Fiddunya Hanasah...sehingga habis' sebanyak mana yang boleh sebelum sampai di Hajarul Aswad semula. Selesaikan sebanyak tujuh kali tawaf. Jika tawaf di tingkat bawah iaitu ground floor, betul-betul hampir dengan Kaabah memang cepat pusingan kita akan tetapi bila kita bertawaf di Matof Tingkat 1 atau 2 maka pusingan lebih besar. Anggaran untuk selesaikan tawaf ini dalam masa 40 minit ke sejam. Tip untuk bertawaf dengan cepat adalah bertawaf semasa orang bersiap sedia untuk solat fardhu. Waktu itu kawasan tawaf agak lapang kerana orang bersiap sedia untuk solat dan kita masih boleh lagi bertawaf. Kita boleh selesaikan tawaf sebanyak tiga pusingan antara waktu selepas azan sehingga menunggu waktu iqomah. Terpulang pada perancangan masing-masing. Ini tip yang jemaah lain kongsikan dan apa yang saya sendiri perhatikan. Selesai tawaf, disunatkan untuk Solat Sunat Tawaf di belakang Makam Ibrahim. Sepertimana yang dimaklumkan oleh Ustaz Zamri, hanya tiga solat sunat yang dinyatakan di dalam Al-Quran iaitu Solat Sunat Aidiladha, Solat Sunat Tahajjud dan Solat Sunat Tawaf. Maka ambillah peluang untuk menunaikan Solat Sunat Tawaf ini kerana hanya boleh dilaksanakan di Mekah sahaja. Solat di Makam Ibrahim juga merupakan tempat yang afdhol berdoa.

Alhamdulillah ruang yang lapang untuk para jemaah menunaikan Solat Sunat Tawaf.

Selesai Solat Sunat Tawaf, para jemaah kami bersama-sama bergerak menuju ke Bukit Safa untuk memulakan Saie. Saie bermula dari Bukit Safa dan menuju ke Bukit Marwah. Kemudian patah balik semula ke Bukit Safa sehingga cukup tujuh kali dan akan berakhir di Bukit Marwah.
- Bukit Safa ke Bukir Marwah - kiraan ganjil (1, 3, 5 & 7)
- Bukit Marwah ke Bukit Safa - kiraan genap (2, 4 & 6)

Semua jemaah akan berjumpa semula dengan Ustaz Zamri yang tunggu di Bukit Marwah. Maka kami semua pun bergerak dan masing-masing fokus menunaikan Saie. Berdoa sendirian tanpa perlu membaca secara ramai-ramai seperti mana orang lain lakukan. Ibadah ini kita yang punya jadi kita berdoa sebaik mungkin dengan penuh pengharapan. Jika kita ikut apa yang orang lain baca maka 'feeling'nya kurang saya rasa. Bermula Saie semasa di Bukit Safa dengan mengadap ke Kaabah dan mengangkat tangan sambil membaca "Bismillah Allahuakbar", sama juga semasa di Bukit Marwah. Semasa Saie, khas untuk kaum lelaki  mereka perlu berlari-lari anak sepanjang lampu hijau. Ini bagi memperingati sejarah Siti Hajar yang belari-lari mencari sumber air untuk anaknya Nabi Ismail r.a. Semasa lari boleh juga baca doa khas yang telah disunatkan untuk dibaca.

Setelah Saie, kami semua berkumpul di Bukit Marwah untuk bercukur. Kata ustaz, apabila kita bercukur rambut sehingga botak licin maka Allah akan memberi tiga rahmat kepada hamba-Nya. Rahmat yang berupa kasih sayang. Takkan kita nak lepaskan peluang ini. Maka semua jemaah digalakan untuk botak licin di kedai potong rambut yang terletak di luar Bukit Marwah dengan bayaran 15 Riyal seorang. Selepas bercukur barulah tahallul kami semua. Bagi kaum wanita hanya perlu menggunting rambut mereka seadanya. Tak silap saya sebanyak tiga helai rambut. Apabila sudah potong pastikan tengok yang dipotong itu rambut kerana khuatir bukan rambut yang dipotong akan tetapi kain telekung. Sekadar langkah berhati-hati. Tahallul bukanlah maksudnya bercukur atau bergunting, Salah. Tahallul maksudnya bebas dari ihram. Maka 13 pantang larang yang dikenakan tadi sudah pun bebas. Selesai kami bercukur itu, terus azan berkumandang. Kami ingatkan sudah masuk waktu Subuh akan tetapi itu adalah azan pertama sebelum Solat Subuh. Azan pertama akan berkumandang sejam lebih awal iaitu pukul 4.30 pagi. Azan Subuh pada 5.30 pagi. Maknanya kami selesai Ibadah Umrah kami pada jam 4.30 pagi bersamaan pukul 9.30 waktu Malaysia. Saya yakin para jemaah masih terkejut lagi dengan perubahan cuaca serta masa pada waktu itu.


Background Jam Besar.
Semua jemaah lelaki selesai bercukur.

Bercukur.

Pukul 5.30 pagi (bersamaan pukul 10.30 pagi waktu Malaysia)
Kami menunaikan Solat Subuh secara berjemaah di kawasan Saie kerana tidak sempat untuk masuk ke kawasan berdekatan dengan Kaabah. Selesai Solat Subuh, kami berkumpul semula dan bergerak pulang ke hotel untuk berehat.

Alhamdulillah selesai.
Nota penulis :
Sekiranya terdapat sebarang kesilapan & kesalahan dalam penceritaan saya, sila tegur. Saya sedia perbaikinya. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment